Najla AlKhalifa
Penasihat Komunikasi Kanan
Najla@mt.gov.sa
Kementerian Pelancongan Arab Saudi menyertai Persidangan Pelaburan Hospitaliti Antarabangsa NYU yang ke-46, mengetengahkan kemajuan luar biasa Kerajaan Arab Saudi dan peluang pelaburan yang luas dalam sektor pelancongan yang berkembang pesat di negara itu. Persidangan ini memberikan platform unik untuk Arab Saudi berkongsi perjalanan transformatif ke arah menjadi destinasi pelancongan global utama sambil mempelbagaikan ekonomi negara itu.
Persidangan itu dimulakan dengan ucaptama yang disampaikan kepada para hadirin oleh Mahmoud Abdulhadi, Timbalan Menteri Pengupayaan Destinasi Pelancongan. Beliau membincangkan peluang yang banyak di Arab Saudi, memberikan cerapan mengenai pelaburan dalam pelancongan untuk membangunkan destinasi baharu. Mahmoud menekankan cara pelabur antarabangsa boleh mendapat manfaat daripada peluang yang dicipta, menegaskan komitmen Kerajaan Arab Saudi untuk menjadi destinasi pelancongan global yang terkemuka.
Melengkapkan ucaptama "Melabur di Arab Saudi & Maju Jaya dalam Bidang Pelancongan (Invest Saudi & Prosper in Tourism)" itu, majlis Makan Tengah Hari Perangkaian diadakan, yang dihoskan oleh Kementerian Pelancongan, menawarkan maklumat yang lebih mendalam mengenai potensi pelaburan Arab Saudi di bawah Wawasan 2030. Acara itu menampilkan penceramah dari Kementerian Pelancongan dan Kementerian Pelaburan Arab Saudi, memberikan tumpuan kepada transformasi dan pembangunan dalam pasaran, prestasi sektor dan peluang pelaburan. Sokongan kerajaan kepada pelabur melalui Program Pengupaya Pelaburan Pelancongan (TIEP), yang memberikan tumpuan kepada mempertingkat kemudahan dan kos menjalankan perniagaan dalam sektor pelancongan, menyediakan insentif dan membuka pasaran yang belum diterokai ini, turut dibincangkan secara terperinci.
TIEP direka bentuk bertujuan mengurangkan halangan pelaburan, mengurangkan yuran kerajaan sebanyak 22% dan menawarkan insentif yang besar. Program tersebut merangkumi inisiatif Pengupaya Pelaburan Hospitaliti (HIE) utama, yang menyasar untuk menjana pelaburan sektor swasta sebanyak USD 11.2 bilion dan mewujudkan 120,000 pekerjaan di destinasi pelancongan yang dikenal pasti berpotensi tinggi. Inisiatif ini menjadikan Arab Saudi destinasi menarik dan menguntungkan bagi pelabur.
Mahmoud Abdulhadi, Timbalan Menteri Pengupayaan Destinasi Pelancongan, berkata, "Arab Saudi berada di ambang transformasi dalam sektor pelancongan yang belum pernah berlaku sebelum ini, menawarkan peluang yang tiada tandingannya kepada pelabur. Komitmen kami kepada Wawasan 2030 bukan sekadar rangka tindakan bagi pembangunan; ini merupakan jemputan terbuka kepada rakan kongsi global untuk menjadi sebahagian daripada perjalanan yang bersejarah ini. Dengan melabur di Arab Saudi, anda melabur dalam masa depan yang menemukan inovasi, budaya dan hospitaliti untuk mencipta pengalaman luar biasa. Program Pengupaya Pelaburan Pelancongan dan inisiatif Pengupaya Pelaburan Hospitaliti direka bentuk bagi menyediakan anda dengan sokongan, insentif dan kurang halangan yang diperlukan untuk berjaya dalam pasaran yang berkembang maju ini. Bersama-sama, kami mampu membina destinasi pelancongan bertaraf dunia yang memberikan manfaat bukan sahaja kepada ekonomi kami tetapi juga komuniti global."
Sebagai sebahagian daripada penyertaan Kementerian Pelancongan pada acara itu, Gloria Guevara Manzo, Ketua Penasihat Khas di Kementerian Pelancongan, Arab Saudi, mengambil bahagian dalam sesi sembang spontan yang bertajuk "Trend Perjalanan dan Pelancongan Memacu Pasaran (The Travel and Tourism Trends Driving the Market)." Sesi tersebut mengkaji trend yang perlu dipertimbang oleh pelabur hospitaliti dan pihak berkepentingan lain untuk memacu strategi masing-masing, memberikan cerapan berguna dalam landskap pelancongan global yang sentiasa berubah.
Perbincangan ini menegaskan langkah penting Arab Saudi dalam sektor pelancongan, terutamanya menarik perhatian 100 juta pengunjung antarabangsa pada tahun 2023, tujuh tahun lebih awal daripada jadual. Kejayaan ini menetapkan tahap untuk sasaran baharu Kerajaan Arab Saudi iaitu 150 juta pelancong, menggambarkan daya tarikan global negara itu yang semakin meningkat.
Lebih menyerlahkan lagi kejayaan tersebut, Arab Saudi naik sembilan anak tangga kepada kedudukan ke-41 dalam Indeks Pembangunan Perjalanan & Pelancongan 2024 Forum Ekonomi Dunia, menunjukkan impak pelaburan strategik dan rangka kerja pengawalseliaan yang teguh negara itu. Diiktiraf sebagai satu daripada negara paling selamat untuk dikunjungi di Timur Tengah, daya tarikan Kerajaan Arab Saudi kepada pelabur antarabangsa terus berkembang.
Dengan pelaburan sebanyak USD 800 bilion dalam sektor pelancongan, Arab Saudi mencipta 1.6 juta peluang pekerjaan dan menambah 500,000 bilik hotel. Pelaburan ini memacu transformasi ekonomi dan sosial Kerajaan Arab Saudi, memberikan tumpuan kepada pembangunan tapak kebudayaan, tempat sukan, taman tema dan rizab alam semula jadi. Di samping itu, usaha Kementerian Pelancongan memudahkan proses e-visa untuk 66 negara merangsangkan lagi aliran masuk pelancongan dan peluang pelaburan, menjadikan Arab Saudi lebih mudah diakses oleh pengunjung antarabangsa.
Najla AlKhalifa
Penasihat Komunikasi Kanan
Najla@mt.gov.sa