Menna Massoud
Menna.massoud@edelman.com
Cabang pengkomersialan Majlis Penyelidikan Teknologi Lanjutan (ATRC), VentureOne, telah melancarkan QuantumGate, usaha perniagaan baharu yang menawarkan rangkaian produk keselamatan data termaju untuk melindungi aset data organisasi dalam era kuantum, di CyberQ, Abu Dhabi pada hari ini.
Tuan Yang Terutama Faisal Al Bannai, Setiausaha Agung ATRC, berkata, “Era kuantum bukan ancaman yang jauh—tetapi sudah ada di sini. Pelancaran QuantumGate adalah langkah penting dalam melindungi aset data yang tidak ternilai daripada ancaman keselamatan siber yang semakin meningkat. Penyelesaian kerajaan QuantumGate akan memastikan maklumat sensitif negara dan organisasi kita kekal selamat.”
“Algoritma kriptografi digunakan oleh hampir semua organisasi untuk menyulitkan dan melindungi data,” kata Dr. Najwa Aaraj, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Inovasi Teknologi. “Tetapi kemajuan dalam pengkomputeran kuantum akan menjadikan kebanyakan daripadanya ketinggalan zaman seawal lima hingga 10 tahun. Walaupun dengan langkah keselamatan semasa, pelaku jahat boleh mengumpul dan menyimpan data organisasi untuk dinyahsulitkan nanti, apabila komputer kuantum tersedia dengan lebih meluas. Ini bermakna risiko akan berlaku—data organisasi sudah terdedah kepada risiko.”
Produk keselamatan data QuantumGate adalah berdasarkan teknologi proprietari dari Institut Inovasi Teknologi yang akan membolehkan organisasi melindungi aset data masing-masing daripada ancaman semasa dan baharu muncul di samping memastikan pematuhan terhadap peraturan kriptografi yang akan datang. Rangkaian produk itu termasuk yang berikut:
Qsphere, yang terdiri daripada VPN dan e-mel pascakuantum, folder fail dan aplikasi penyulitan dan penyahsulitan teks.
Salina, alat pengurusan identiti dan akses yang direka bentuk untuk memudahkan proses pengesahan dengan menghapuskan keperluan menggunakan kata laluan.
“Dengan kemajuan terkini dalam pengkomputeran kuantum, jelas menunjukkan kepada semua profesional keselamatan bahawa penyelesaian kripto hari ini akan dicabar secara serius tidak lama lagi,” kata Reda Nidhakou, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif VentureOne, syarikat induk QuantumGate. “Bagi mengelakkan kerugian besar, penting bagi perniagaan yang sensitif untuk beralih kepada sistem keselamatan pascakuantum sekarang. Misi kami ialah untuk menjadikan proses ini selancar yang mungkin melalui penyelesaian yang bingkas, tangkas dan terkini.”
Selain menawarkan produk keselamatan data, QuantumGate akan menawarkan khidmat nasihat untuk membantu organisasi dalam peralihan daripada kriptografi klasik kepada pascakuantum, di samping memastikan gangguan yang minimum kepada operasi.
QuantumGate ialah usaha perniagaan ketiga yang dilancarkan oleh VentureOne. SteerAI, yang membangunkan teknologi mobiliti berautonomi, dilancarkan pada bulan Oktober 2024. AI71, yang mencipta penyelesaian perniagaan menggunakan model AI generatif Falcon, dilancarkan pada tahun 2023.
Teks bahasa sumber asal pengumuman ini adalah versi rasmi yang sahih. Terjemahan yang disediakan hanya sebagai penyesuaian sahaja, dan hendaklah di silang-rujuk dengan teks bahasa sumber, yang satu-satunya versi teks dengan kesan undang-undang.
Menna Massoud
Menna.massoud@edelman.com